Tuesday, November 5, 2013

Hijrah: Apa ertinya?

Kalau ditanya,pasti semua orang ada definasi masing tentang hijrah. Terlalu banyak definisi di sini untuk ditulis. Mungkin tak mampu untuk diungkapkan. Semakin berilmu seseorang itu,semakin berbelit dan melingkuk riuk definasi.

Zaman Kanak-kanak

Teringat zaman kecik-kecik di sekolah rendah,dari 5 tahun hingga Darjah 6. Setiap malam kena pergi ke rumah tok guru Al Quran, yang kami panggil Tok Wa Man. Kami akan berada di situ dari masuk waktu maghrib untuk bersolat Maghrib berjemaah hingga pukul 8:45 malam. Waktu ni adalah waktu yang paling memeritkan sebab waktu ni la tv akan menyiarkan rancangan kartun paling best. Teringat balik, hari Sabtu adalah hari yg paling dibenci untuk pergi mengaji disebabkan kartun Doraemon dan Shin Chan. Kerana Doraemon mula pada pukul 7:30 setiap minggu akan terlepaslah untuk menonton.

Zaman Dewasa

Ada satu hari,seorang sahabat aku datang mengambil aku untuk ke rumahnya. Dia seorang Muslim yang berasal dari sebuah negara Islam di Eropah yang telah menetap di Australia sejak 20 tahun lalu. Sudah menjadi kebiasaan untuk aku menghabiskan weekend di rumahnya untuk menonton bolasepak. Ketika waktu maghrib,selepas aku imamkan solat jemaah,dia tiba-tiba meminta untuk membaca doa. Aku tidak membantah.

Kemudian dia mengeluarkan sebuah buku kecil di dalam bahasa ibunda dia dan memulakan doa. Di dalam doanya ada beberapa ayat Al Quran. Dia membaca doa tersebut. Aku tergamam sebab sebutan dia yang amat berlainan dari yg sepatuttnya dibaca. Tidak mengikut makhraj dan juga bacaannya salah. Aku tergamam. Aku menawarkan diri untuk membantunya mempelajari membaca al Quran tetapi dia menolak. Dengan alasan dia sudah besar dan tidak mempunyai masa. Kecewa juga aku kerana dia mampu ke gym selama 2 jam setiap hari.

Selepas solat,fikiran aku terganggu. Rasa terkilan dan rasa bersyukur pada masa yang sama. Terkilan kerana pelawaan aku ditolak. Bersyukur kerana Allah berikan aku peluang untuk mempelajari Al Quran. Bersyukur kerana aku ada ibubapa yang menghantar ke kelas pengajian. Mungkin sewaktu kecil rasa amat kecewa kerana tidak dibenarkan tnggal di rumah dan menonton tv, tetapi skrg aku bersyukur. Bersyukur kerana aku dibesarkan dengan sedemikian rupa.Walau terpaksa dan dipaksa.


Hijrah


Kembali kepada hijrah tadi. Apa makna hijrah? Bagi aku hijrah beerti meninggalkan keseronokan dunia untuk kebahagian akhirat. Sewaktu kecil, kalau ditanya pengertian hijrah,mungkin aku tidak mampu memberikan definasi. Mungkin juga tercengang kalau ditanya perkataan tersebut. Tetapi diri aku yang kecil itu telah berhijrah walau terpaksa dan dipaksa.

Semakin dewasa, semakin banyak yang didengari. Mungkin sudah berpuluh ceramah tentang hijrah telah didengari dari penceramah terkenal. Mungkin juga telah berpuluh A aku dapat ketika di sekolah menjawab soalan Pendidikan Quran Sunnah dan Pendidikan Syariah Islamiah. Mungkin juga telah beratus kali nasyid dendangan Al Ajiba bertajuk Maal Hijrah berkumandang di radio.

Tapi hakikatnya sang dewasa ini masih gagal menterjemah pengertian hijrah. Dia masih leka dengan facebook. Atau dengan perlawanan El- Classico atau Tyne Wear Derby antara Newcastle dan Sunderland. Atau juga movie yang langsung tidak bermanfaat. Argh,semakin banyak yang dia tahu,semakin sukar diterjemah. Teringat sang kanak-kanak,kalau dia tidak dipaksa,mungkin dia juga dewasa tanpa kenali agama.


Sang kecil yang tidak memahami hijrah, dia telah melakukan hijrah.
Sang dewasa yang banyak pengetahun,semakin licik mencari alasan






Monday, October 14, 2013

Roller coaster dan kehidupan.


Roller Coaster

Disember yang lepas, aku dan kawan baik saya, Zul Carpan ke Movie World yang terletak di Gold Coast. Walaupun sudah 2 tahun di Australia, tapi ini kali pertama aku ke sana. Kalau anda pernah menaiki roller coaster di mana-mana taman tema yang anda lawati, pasti anda akan ketahui bahawa masa yang paling lama digunakan untuk menaiki roller coaster ialah selepas anda baru sahaja melabuhkan punggung.

Anda akan di pakaikan dengan tali pinggang keselamatan dan roller coaster constrain cushion dipasang ke atas anda, hanya selepas itu,barulah roller coaster akan mula bergerak.

 Pernah tak anda terfikir,apa yang menyebabkan anda berani untuk menaiki roller coaster? Kalau difikirkan logik, sudah pasti roller coaster ialah satu permainan yang berisiko dan merbahaya.Rasanya semua orang akan setuju kalau dikatakan sebab utama kita berani menaiki roller coaster ialah kerana ciri keselamatan yang ada pada roller coaster tersebut.

Kita percaya akan kekukuhan binaaan landasan roller coaster. Kita juga percaya pada system roller coaster tersebut yang tidak mungkin akan terkeluar dari landasan ketika bergerak. Akhir sekali kita percaya yang tali pinggang keselamatan yang dibekalkan dan restrain cushion yang dipakaikan amat dipercayai untuk menghalang kita dari terjatuh ketika menaiki permainan tersebut.

Bagaimana kita tahu yang kita akan selamat dari bahaya?

Dengan menaiki roller coaster, kita telah meletakkan kepercayaan kita kepada jurutera yang bertanggungjawab merekacipta dan membina roller coaster. Kita percaya yang mereka tahu akan kepentingan keselamatan setiap pengunjung yang menaiki roller coaster. Jadi permainan ini dipastikan selamat untuk pengujung. Sekiranya tiada jaminan keselamatan, saya amat pasti, tidak akan ada sesiapa pon yang akan menaiki roller coaster.

Dalam hal ni,, boleh la diumpamakan yang kita telah meletakkan sepenuh kepercayaan kepada kepandaian dan guna kemahiran jurutera terbabit. Disebabkan kepercayaan yang kita letakkan itulah kita menurut arahan mereka dengan mengenakan langkah keselamatan dan bam! Kita dapat menikmati keseronokan roller coaster.

Roller Coaster kehidupan

Bila kita tengok dan fikirkan kembali dengan kehidupan seharian kita, rasa sama tak situasi roller coast dengan kehidupan kita? Sama kan? Begitulah kehidupan kita. Setiap hari kita akan mengalami pelbagai masalah dan ujian. Untuk menghadapi ujian-ujian tersebut, kita hendaklah kembali kepada Allah demi mencari rujukan dan arahan.
Life is roller coaster

Ianya bolehlah diumpamakan seperti peringkat di mana kita mengenakan langkah keselamatan tersebut. Kita mengenakan langkah-langkah keselamatan supaya keselamatan kita terjamin dan kita akan menikmati keseronokan roller coaster. Apabila kita mengenakan langkat keselamatan dan arahan yang dikenakan oleh Allah, dengan izinnnya perjalanan kita di dunia ini juga akan selamat dan kita akan berpeluang menikmati keseronokan syurgaNYA.

Cuma persoalannya sekarang, adakah kita percaya kepada engineer yang mereka kehidupan kita ini? Adakah kita meletakkan sepenuh kepercayaan kita? Sekiranya ditanya kepada setiap orang, pasti mereka akan menjawab yang mereka meletakkan kepercayaan kepada Allah. Bagaimanapun dari segi tindakan kita, kita sebenarnya tidak langsung mengendahkan arahan dan peraturan yang dikenakan Allah. Adakah itu dianggap percaya?

Apabila kita percaya kepada jurutera bertanggungjawab ke atas roller coaster, kita mematuhi arahan mereka dengan mengenakan alatan keselamatan. Tiada sesiapa pun melanggar arahan . Tetapi apabila kita menunggang roller coaster kehidupan, kenapa kita tidak mahu mendengar dan mematuhi arahan Allah? 

Untuk menikmati keseronokan syurga, seharusnya lah kita mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah didalam dunia ini kerana Allah sebagai pencipta dan jurutera kehidupan kita lebih mengetahui tentang perkara yang terbaik dan perbuatan yang akan menyelamatkan kita dalam kehidupan.


Firman Allah Taala, maksudnya: "Dan hendaklah kamu sekalianberpegang teguh kepada kitab Allah Al-Qur'an .. (103, Ali-Imran).

".. Dan apa jua suruhan yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu, maka ambillah akan dia serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya ..." (7, Al-Hasyr).

p/s: Dunia ialah roller coaster kehidupan. Jom patuhi arahan Tuhan!

Jangan extreme sangat bila naik roller coaster! 

Sunday, October 6, 2013

King of Beggars

King of Beggars

2 hari lepas, saya menonton sebuah filem dari Stephen Chow.  Filem yang di terbitkan pada 1992 ini bertajuk King of Beggars. Di dalam filem ini, Stephen Chow (Pengemis So) telah menjadi raja kepada kumpulan pengemis di ibu kota. Disebabkan jumlah pengemis yang begitu banyak, persatuan ini menjadi antara persatuan yang terkuat di ibu kota. Ketika Maharaja China di serang oleh segerombolan tentera yang telah berpaling tadah, Pengemis So sebagai Raja kepada kumpulan pengemis ini telah menggerakkan semua pengemis demi membantu Maharaja yang hampir dibunuh ini.

Akhirnya, Pengemis So dan sahabat pengemisnya berjaya menewaskan musuh dan seterusnya menyelamatkan sang maharaja. Sang Maharaja kemudiannya menjemput Pengemis So ke istana untuk di berikan hadiah. Bagaimanapun hadiah itu ditolak oleh Pengemis So kerana memilih untuk tidak hidup mewah. Maharaja kemudiannya meminta Pengemis So untuk menjadi salah seorang pegawai Maharaja. Bagaimanapun ianya ditolak oleh Pengemis So.

Maharaja kemudiannya merayu kepada Pengemis So supaya menerima perlantikan tersebut kerana pengikut Pengemis So yang terdiri dari kalangan pengemis adalah sangat banyak.  Sang Maharaja bimbang yang mereka akan memberontak kepada Maharaja.

Pengemis So kemudiannya berkata kepada Maharaja "Kekuatan pasukan pengemis ini bergantung kepada Maharaja". Maharaja yang kehairanan kemudiannya meminta diterangkan dengan lebih lanjut. Pengemis So menerangkan bahawa bilangan angkatan pengemis bergantung kepada pemerintahan Maharaja kerana sekiranya pemerintahan Maharaja adil dan saksama,dimana semua penduduk menikmati kesenangan dan rezeki yang mencukupi, sudah tentu akan tiada lagi pengemis di ibukota dan seterusnya sudah tentu akan tiada lagi angkatan pengemis ini. Tiada orang yang mahu menjadi pengemis sekiranya mereka mendapat rezeki yang mencukupi.

Pengemis So (Stephen Chow) dan gurunya.

Diri sendiri adalah penyebab

Kadang-kadang,kita sering menyalahkan orang lain diatas sesuatu yang berlaku. Kita menjadi risau akan perlakuan orang lain yang mungkin memberi impak kepada kita sedangkan kebanyakan dari perkara yang berlaku boleh dihalang oleh kita. Kita mempunyai pilihan sama ada mahu menjadikan sesuatu itu baik atau buruk.

Sebagai contoh apabila melanggar kereta di hadapan kita yang memberhentikan kereta secara tiba-tiba, kita akan marah kerana dia menyebabkan perlanggaran,sedangkan kita boleh mengelak perlanggaran sekiranya kita tidak mengikuti kereta di hadapan dengan begitu dekat.

Realiti kehidupan

Pada masa kini, setiap hari kita akan terbaca atau terdengar begitu banyak kes-kes jenayah yang berlaku.  Kebanyakan kes-kes ini berlaku kerana mereka ini terlibat kerana desakan hidup. Seorang mungkin terpaksa mencuri kerana tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi. Sekiranya kerajaan memastikan yang semua orang mendapat sumber pendapatan yang mencukupi,jenayah jenayah tentunya dapat dikurangkan kerana tiada orang yang mahu melakukan jenayah melainkan mereka terdesak.

Tindakan kita

Sekiranya kita mahu menghapuskan kadar jenayah dalam sekelip mata ianya tentunya mustahil. Tetapi sebagai seorang insan,kita boleh bertindak mengikut kadar kemampuan kita. Sebagai contoh dengan mengambil tahu akan perihal jiran-jiran kita dan keadaan hidup mereka. Sekiranya kita peka dengan keadaan sekeliling dan mengambil tahu akan mereka,tentu kita dapat tahu samada kita tinggal di persekitaran dengan penjenayah atau tidak. Sekiranya ya,kita boleh membantu dengan melaporkan kepada pihak berkuasa. Dan sekiranya semua orang kenal akan persekitaran masing-masing, tentunya banyak jenayah yang berlaku dapat dicegah.

Begitu juga dengan kes penderaan kanak-kanak,sekiranya kita mengambil tahu akan jiran kita,pastinya kes ini akan dapat dibendung.Bukankah kita sebagai umat Islam sentiasa hidup saling bantu membantu?


Dari Abdullah bin ‘Amr r.a : Rasulullah saw bersabda, “Sebaik-baik teman di sisi Allah adalah orang yang paling baik di antara mereka terhadap temannya. Dan sebaik-baik jiran di sisi Allah adalah orang yang paling baik di antara mereka terhadap jirannya.” [Sahih, At-Tirmidzi, Ahmad, Darimi dan Hakim]